[VIDEO] Waytha Moorthy dekat dengan Pas sebab tolak Anwar - Mohd Amar

KOTA BHARU - Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Abdullah mendedahkan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Waytha Moorthy memilih untuk mendekati parti itu dan pembangkang kerana berkongsi matlamat politik yang sama untuk menurunkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.

Beliau berkata, Waytha Moorthy tidak dijemput namun hadir atas kehendak sendiri selepas melihat wujud keserasian dalam perjuangan menolak kepimpinan kerajaan hari ini.

**media[3268596]**

"Dia (Waytha Moorthy) yang semakin dekat dengan kita (Pas), kena betulkan dulu. Kenapa dia mari dengan dengan kita adalah kerana kita menolak kerajaan yang ada pada hari ini.

"Dalam bahasa yang lain semua orang hendak menurunkan Anwar sebagai Perdana Menteri, jadi sasaran kami adalah sama. Jadi itu yang menarik dia bersama dengan kami, bukan kita panggil dia," katanya kepada Sinar Harian.

Menurut beliau, ketika ini tiada sebarang perbincangan ke arah kerjasama yang lebih lanjut dengan Waytha Moorthy.

Terdahulu, Waytha Moorthy dilihat lebih 'mesra' dengan pakatan pembangkang sekali gus menimbul perdebatan hangat dalam kalangan rakyat yang mempersoalkan tindakan selepas beliau sebelum ini menyokong untuk meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).

Waytha Moorthy kemudian dilapor memfailkan saman pemula bagi mendapat perisytiharan bahawa pelantikan Anwar sebagai Perdana Menteri pada 2022, adalah tidak berperlembagaan, terbatal dan tidah sah.

Beliau memfailkan saman tersebut di Pejabat Pendaftaran Mahkamah Tinggi Sivil melalui Tetuan Karthig Shan dan menamakan Anwar sebagai defendan tunggal.

Perikatan Nasional (PN) kemudian menyangkal dakwaan terlibat dalam saman difailkan peguam, Waytha Moorthy terhadap Anwar.

Menurut Ketua Whip PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan tindakan yang dilakukan Presiden Parti Kemajuan Malaysia itu adalah secara peribadi.